Chlamydia – Infeksi chlamydia selalunya tidak memberi apa-apa tanda bagi pesakit wanita, tetapi pesakit mungkin mengalami gejala yang tidak spesifik seperti radang pundi kencing, keluar lendir dari faraj atau sakit dibahagian ari-ari.
Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts) – Terdapat ketuat yang berwarna putih atau bintik-bintik putih di kawasan faraj dan kemaluan atau di lubang dubur. Tetapi majoriti pesakit tidak mengadu apa-apa gejala. Ini menyukarkan doktor untuk membuat diagnosa yang tepat bagi penyakit tersebut.
Herpes di bahagian kemaluan (Genital herpes) – Seperti ketuat, herpes selalunya tidak menunjukkan gejala. Mereka yang menunjukkan tanda-tanda penyakit akan mengadu demam, gatal, ‘panas’ dan bengkak di bahagian kemaluan. Kadang kala kulit boleh melepuh dan membentuk ulser menyebabkan sakit semasa membuang air kecil.
Gonorrhoea – Gonorrhoea ialah jangkitan yang melibatkan lelaki dan perempuan. Ia boleh menjangkiti kawasan kemaluan, dubur, usus atau tekak. Lebih kurang 90 peratus pesakit akan mengadu keluaran lendir bernanah dari kemaluan dan sakit semasa membuang air kecil.
Sifilis – Gejala awal adalah pesakit akan mengadu terdapat kudis di bahagian faraj. Kudis ini mungkin tidak sakit dan akan hilang sendiri walaupun tanpa rawatan. Kemudian, pesakit mungkin mengalami demam, menggigil dan sakit otot.
HIV – Pesakit mungkin mengadu demam dan sakit otot beberapa bulan selepas dijangkiti virus HIV ini, tetapi majoriti tidak mempunyai apa-apa simptom. Hanya ujian darah dapat memastikan samada anda dijangkiti HIV atau tidak. Ujian darah tersebut mungkin terpaksa diulang jika didapati negatif. Lama-kelamaan, sistem imuniti pesakit akan berkurangan dan beliau akan sukar melawan penyakit.
Trichomoniasis – Organisma yang menyebabkan penyakit ini diberi nama Trichomonas vaginalis (TV). Kebanyakkan pesakit tidak mengadu apa-apa simptom tetapi segelintir akan mengalami keluar lendir kuning atau kehijauan, gatal dan bengkak di bahagian kemaluan.
Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice) – Gejala termasuk gatal di bahagian kulit kemaluan. Anda mungkin juga mendapati serbuk-serbuk hitam (najis kutu) atau serbuk putih (telur kutu) di bahagian kemaluan atau seluar dalam.
Kudis buta (Scabies) – Kudis buta boleh berlaku di mana-mana bahagian badan dan juga kawasan lipatan badan. Gejala termasuk gatal (lebih lagi waktu malam), ruam dan bintik-bintik hitam.
Kulat Candidiasis (Thrush) – Gejala termasuk gatal di bahagian kemaluan, keluar lendir putih (seperti dadih) dan bintik-bintik keputihan di bahagian faraj.