mcmc
Kesihatan

Kanser Tonsil

Kanser Tonsil

Tonsil merupakan sebuah gumpalan tisu limfoid yang terletak di bahagian tekak (orofarinks). Setiap manusia mempunyai dua biji tonsil. Ianya berbentuk bujur dan terletak di dinding sisi tekak (orofarinks), di antara tiang anterior (anterior pillar) dan tiang posterior (posterior pillar).

Saiz sebenar tonsil adalah lebih besar dari apa yang kita dapat lihat. Hal ini adalah kerana struktur tonsil yang memanjang ke arah lelangit, memanjang ke arah pangkal lidah dan memanjang ke arah lengkung palatoglossal disisi.

Tonsil merupakan organ paling aktif sekitar umur 4 ke 10 tahun dan seterusnya saiz tonsil akan berkurang bermula selepas akil baligh.

Tonsil merupakan penghalang kepada bendasing seperti virus, bakteria dan antigen lain daripada memasuki saluran tekak (oropharynx) ketika proses menarik nafas dan makan dengan bertindak sebagai immuniti lokal dengan membentuk sel limfosit dan plasma untuk pertahanan badan. Selain itu, ia juga bertindak sebagai mekanisma pengawasan (surveillance mechanism) dengan memantau dan memberi amaran kepada badan akan jangkitan bakteria yang masuk melalui udara atau makanan. Tonsil juga merupakan antara organ yang membangunkan sistem keimunan dan antibodi badan pada peringkat awal usia.

Kanser tonsil (tonsil carcinoma) merupakan sejenis kanser yang bermula pada sel tonsil. Ia juga boleh berlaku pada tonsil lelangit yang dipanggil sebagai tonsillar carcinoma. Kebanyakan kanser tonsil dan tonsil lelangit merupakan jenis squamous cell carcinomas yang muncul daripada lapisan tisu mulut dan pesakit boleh hadir dengan ulser yang mempunyai tisu mati. Kanser lymphoma juga boleh terjadi pada tonsil dan kebiasaannya hadir dengan tonsil besar pada sebelah bahagian bersama ulser atau tanpa ulser yang boleh menyerupai nanah pada dasar tonsil (peritonsillar abscess).

Kanser ini boleh merebak secara lokal pada kawasan sekitar seperti lelangit lembut dan tiang lelangit, dasar lidah, dan dinding tekak. Sekiranya merebak pada otot pterygoid dan mandibel ia boleh menyebabkan kesakitan dan gangguan pembukaan mulut (trismus). Seterusnya, kanser ini juga boleh merebak melalui sistem limfa dan boleh merebak pada bahagian badan yang lain (distant metastases) kebiasannya berlaku pada kes yang telah lewat.

Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan sesetengah individu lebih cenderung untuk mendapat kanser tonsil adalah termasuk ˸

  • Merokok
  • Pengambilan alkohol
  • Dijangkiti virus HPV (Human Papilloma Virus)