Muzium Felda Lurah Bilut dibuka secara rasmi pada 2005. Muzium ini cukup istimewa dan unik berbanding kebanyakan muzium lain kerana ia memaparkan sejarah dan kisah di sebalik kehidupan peneroka awal Lembah Bilut. Di sinilah tempatnya jika mahu mengimbau bagaimana peneroka asal membantu kerajaan menjayakan tanah rancangan baharu. Bangunan muzium ini adalah bekas pejabat pentadbiran lama. Berdekatan dengan pintu gerbang utama muzium, tersergam megah replika pisau penoreh getah. Ini kerana kegiatan pertanian utama peringkat awalnya ialah tanaman getah sebelum ditukar kepada tanaman kelapa sawit yang lebih cepat memberikan hasil. Namun, sejarah tanaman getah tidak pernah dilupakan. Sebab itulah banyak koleksi berkaitan dipamerkan seperti pisau toreh getah, tong susu getah, basikal tua, cawan susu dan juga pelbagai gambar sejarah awal peneroka membuka ladang getah.