mcmc
Maklumat Pi1M

Rakan Digital

Seramai 600 Rakan Digital PEDi akan dilantik dan ditugaskan untuk menjalankan program-program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Ini adalah tambahan tenaga kerja ke PEDi tersebut yang
pada hakikinya mempunyai Pengurus dan Penolong Pengurus. Rakan Digital PEDi akan menjalankan pelbagai latihan, akan menjadi penasihat kepada usahawan mikro serta akan membimbing mereka ke arah ekonomi digital. Mereka turut akan membantu usahawan tersebut untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi-agensi tertentu, jika diperlukan.

Apakah peranan Ikon Usahawan PEDi?

Usaha memperkasakan usahawan setempat ia akan disokong oleh Ikon Usahawan PEDi iaitu usahawan kecil dari masyarakat setempat yang telah berjaya agar dapat memberi motivasi dan menyemarakkan semangat kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Puan Normala di PEDi Kg. Durian Tawar, Bera, Pahang yang dikenali oleh masyarakat setempat. Ini secara langsung memberi akses untuk usahawan lain berinteraksi untuk mendalami pendekatan yang boleh memberi kejayaan kepada usaha mereka sendiri.

Apakah usaha yang akan diambil oleh PEDi untuk memperkasakan usahawan luar bandar dan miskin bandar?

PEDi akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dan swasta. Pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehpasaran produk, khidmat dalam strategi penjenamaan, pemasaran, pembungkusan dan sebagainya. Program ini bermatlamat untuk mendorong 800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang tahun 2025. Melalui program berkenaan, ia diharap dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti yang akan menjana keuntungan, mengekalkan perniagaan serta pekerjaan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Apakah usaha ini dipantau?

Kesemua aktiviti akan dipantau impaknya. Impak adalah dari segi peningkatan pendapatan oleh usahawan mikro yang telah menjalani bimbingan dan Latihan di PEDi. Adalah disasarkan agar purata peningkatan usahawan mikro adalah sebanyak tidak kurang dari 30% berbanding dengan pendapatan sebelum memasuki Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil. Melalui pemantauan yang rapi ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat bertindak tangkas bersama agensi kerajaan lain serta pihak swasta untuk memperkemaskan aktiviti agar lebih mantap dan sesuai bagi usahawan mikro.

Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia atau PEDi, bukan sahaja menyediakan kemudahan internet secara kolektif kepada orang ramai namun turut menyediakan latihan ICT dan keusahawanan. Menjelang penghujung tahun ini terdapat sebanyak 1083 PEDi diseluruh negara yang boleh dimanfaatkan semua.